BULAN REJAB: KEMULIAAN DICEMARI KEPALSUAN
Oleh:
Dr.Arieff Salleh bin Rosman,
Felo Fatwa
Bulan Rejab merupakan salah satu daripada 'al-Ashur al-Hurum' (bulan-bulan haram) selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah. Bulan-bulan haram merupakan bulan mulia sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 36, yang bermaksud, "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya empat bulan haram (yang dihormati). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)...." Abu Bakrah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta langit dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan. Antaranya ada empat bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rejab iaitu antara bulan Jamadilakhir dan Sya'ban." (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata'if al-ma'arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj yang menurut majoriti ulama' ia berlaku pada 27 Rejab.
Namun isu yang timbul ialah kemuliaan bulan Rejab sebagai salah satu bulan haram telah dicemari dengan pengagungan yang bersumberkan kepada laporan/hadis palsu yang direka-reka yang diistilahkan dalam ilmu hadis sebagai hadis maudhuk.
Mengagungkan bulan Rejab bukanlah satu persoalan yang baru. Ia telah pun wujud pada zaman Jahiliyyah; sebelum kedatangan Islam. Masyarakat Arab Jahiliyah begitu mengagungkan bulan Rejab sehingga mereka menjadikannya sebagai perayaan. Antara amalan popular yang dilakukan oleh sebahagian orang Islam di Malaysia apabila datangnya bulan Rejab ialah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan puasa sunat Rejab dan menghidupkan malam dengan sembahyang sunat Rejab.
Umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya; kini dan dahulu, telah disajikan dengan pelbagai janji manis jika melakukan sesuatu amalan khusus di bulan Rejab. Satu kebenaran yang perlu dijelaskan kepada umat Islam ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang dilaporkan daripada Rasulullah SAW dari hadis sahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah sebahagian kecilnya bersandarkan kepada hadis lemah (daif) dan kebanyakkannya adalah hadis palsu (maudhuk).
Isu mencemarkan bulan Rejab dengan janji-janji daripada sumber yang palsu ini sudahpun wujud sekian lama. Antara ulama terdahulu yang membongkar usaha golongan pemalsu hadis yang membuat pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw berkaitan kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya, antaranya ialah Imam ahli hadis Abu al-Khattab 'Umar bin Hasan ibn Dihyah (w. 633H) yang mengarang buku yang bertajuk 'Ada' ma wajab min bayan wad' al-wadda'in fi Rajab (Melaksanakan apa yang wajib dengan menerangkan pemalsuan yang dilakukan oleh pembohong berkaitan Rejab)' dan Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani (w. 852H) yang mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab (Menjelaskan perkara yang pelik berkaitan dengan apa yang disampaikan tentang kelebihan Rejab)'.
'Ata; seorang ulama tabi'in menjelaskan, Nabi Muhammad saw melarang daripada berpuasa penuh sebulan bulan Rejab agar ia tidak dijadikan sebagai perayaan sebagaimana yang dilakukan oleh orang Arab Jahiliyyah (Ibnu Rajab, Lata'if al-ma'arif, hlm. 11). Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan, "Larangan daripada berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab adalah berkaitan dengan individu yang melakukannya kerana terpengaruh dengan amalan orang Arab jahiliyyah yang begitu mengagungkan bulan Rejab.
Tetapi jika seseorang itu berpuasa sunat sama seperti bulan lain tanpa menganggap puasa bulan Rejab adalah lebih utama daripada bulan lain, tidak mengkhususkan puasa hari tertentu bulan Rejab bagi mendapat ganjaran tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan. Begitu juga dengan individu yang menghidupkan malam bulan Rejab dengan beribadah sebagaimana dia beribadah pada malam bulan lain. Tetapi jika seseorang beribadah sunat hanya pada bulan Rejab sahaja dengan anggapan ia khusus untuk bulan Rejab, maka ia adalah amalan yang dilarang." (Tabyin al-'ajab, hlm. 49).
Buasir Otak TV: Buasir Otak: The Muzik - Tiada Graviti
-
Bila sudah tiada graviti antara kita, terasa sunyi walau depan mata.
Baca lagi »
Sehari yang lalu